Soalan Lazim

Ko-Kurikulum

1. Apa Itu Dasar 1Murid 1Sukan?

Dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.

Setiap murid dikehendaki melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.

 

2. Kenapa Dasar 1M 1S Ini Diwujudkan?

Dasar 1M 1S diwujudkan untuk memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif;

Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah; dan

Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

 

3. Apakah Objektif Dasar 1M 1S Ini?

Meningkatkan kecergasan jasmani;

Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin atau nilai murni;

Memupuk perpaduan di antara kaum;

Membentuk budaya sukan di kalangan murid;

Memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal;

Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal; dan

Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan

 

4. Apakah Perkara-Perkara Yang Perlu Diambil Kira Sebelum Melaksanakan Dasar 1M 1S Ini?

Sebelum pelaksanaan Dasar 1M 1S ini, ia hendaklah mengambil kira prinsip-prinsip berikut:

Setiap murid termasuk murid bekerpeluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan;

Murid boleh menyertai lebih dari 1 sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan serta persetujuan pihak sekolah;

Sukan yang ditawarkan di bawah 1M 1S hendaklah berunsurkan aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal.

Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.

Asas kepada Dasar 1M 1S adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang berkualiti di sekolah. Segala sumber mata pelajaran PJK hendaklah diguna sama bagi pelaksanaan dasar ini;

Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti sukan;

Ibu bapa dan agensi luar/ rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah; dan

Setiap sekolah yang sudah mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.

 

5. Siapakah Yang Harus Terlibat Di Dalam Pelaksanaan Dasar 1M 1S Ini?

Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di Sekolah Rendah dan Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di Sekolah Menengah. Manakala murid Prasekolah hingga Tahun 3, digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah.

Pihak sekolah hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah sukan, dorm asrama dan kelab sukan sekolah. Penyertaan murid dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD)/Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN)/Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta peringkat antarabangsa adalah merupakan aktiviti 1M 1S

 

Kurikulum

1. Apa itu PBS?

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.

Pentaksiran Sekolah (PS) dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah sepenuhnya bermula dari aspek perancangan, pembinaan item dan instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan atau penskoran, perekodan dan pelaporannya.

Pentaksiran Pusat (PP) merupakan suatu pentaksiran yang dilaksanakan oleh sekolah di mana instrumen pentaksiran, tugasan, peraturan pentaksiran, garis panduan, peraturan penskoran, penggredan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP). Manakala pelaporan dicetak oleh pihak sekolah. Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) adalah komponen di dalam pentaksiran pusat.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) adalah sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan serta mengukur penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstrakurikulum.

Pentaksiran Psikometrik (PPsi) ialah suatu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan tret psikologi. Tret psikologi yang diukur merangkumi aptitud dan personaliti murid. Hasil dapatan PPsi dapat digunakan untuk membantu mempertingkatkan pembelajaran murid. PPsi mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran.

2. Di mana dan bagaimana Pentaksiran Sekolah(PS) berlaku?

PS berlaku di dalam bilik darjah semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Proses ini berlaku secara berterusan dengan menggunakan kaedah formatif dan sumatif.

PS memberi penekanan terhadap pelaksanaan kaedah formatif, supaya guru memberi bimbingan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) berlangsung agar dapat menentukan tahap pencapaian dan tahap penguasaan sebenar murid.

3. Apakah yang dimaksudkan Pentaksiran Sekolah(PS) secara formatif dan sumatif?

Pentaksiran secara formatif dilaksanakan seiring dengan proses p&p. Manakala pentaksiran secara sumatif dilaksanakan pada akhir suatu unit pembelajaran atau penggal.

Dalam melaksanakan PS, guru perlu merancang, membina item, mentadbir, memeriksa, merekod dan melapor pencapaian dan perkembangan pembelajaran murid dalam mata pelajaran yang diajar.

4. Siapakah yang melaksanakan Pentaksiran Sekolah(PS) dan bila ia dilaksanakan?

Guru akan melaksanakan PS secara berterusan, sama ada secara sumatif atau formatif. PS akan dilakukan oleh guru ketika sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di bilik darjah.